Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Isu debat 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) secara langsung antara anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan
Presiden serta Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy,
mendominasi persidangan Dewan Rakyat minggu
Jangkaan terhadap debat itu mendapat reaksi positif daripada anggota
Parlimen kedua-dua pihak, dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr
Salleh Said Keruak bersetuju supaya debat itu diadakan secepat mungkin dan
disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Bagaimanapun, isu itu mendapat reaksi sebaliknya daripada Yang Dipertua
Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang membuat keputusan bahawa ia tidak
boleh diadakan bagi mengekalkan ketelusan siasatan dan prosiding yang dijalankan
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas 1MDB selaras dengan
peraturan-peraturan Dewan Rakyat.
Beliau berkata penglibatan Pua dalam debat itu, yang juga anggota PAC
sebelum laporan akhir penyiasatan dibentangkan di Dewan Rakyat, akan menjejaskan
integriti Parlimen, selain Arul Kanda yang juga merupakan saksi utama dalam
siasatan itu.
Mengumumkan keputusannya sejurus selepas sesi soal jawab selesai pada
persidangan Selasa lepas, Pandikar Amin meletakkan syarat sekiranya debat itu
diteruskan, Pua harus meletak jawatan sebagai anggota PAC ataupun tidak terlibat
sama sekali dalam penyiasatan PAC terhadap 1MDB.
Beliau berpendirian bahawa debat berkenaan boleh diadakan selepas PAC
mengemukakan penyata akhir siasatan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat akhir
tahun ini.
Pua akhirnya akur dengan keputusan Speaker untuk tidak meneruskan
perdebatan, namun, ia masih gagal meletakkan titik noktah pada isu itu apabila
Pakatan Harapan masih mahu meneruskan debat dan menggantikan Pua dengan anggota
parti itu yang lain.
Mereka menamakan anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang juga Naib
Presiden dan Setiausaha PKR untuk menggantikan Pua, yang merupakan Setiausaha
Publisiti Kebangsaan DAP.
Arul Kanda yang turut akur dengan keputusan Pandikar Amin itu berkata beliau
hanya boleh mengambil bahagian dalam sebarang debat mengenai 1MDB selepas
pendengaran PAC.
Sementara itu, persidangan Dewan Rakyat minggu ini juga melihat sesi
penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 oleh
kementerian-kementerian bermula Rabu lepas, selepas ia dibahaskan selama enam
hari sejak 26 Okt.
Rang undang-undang itu telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak pada 23 Okt lepas.
Semasa giliran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggulung
rang undang-undang itu pada Khamis lepas, menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed
mendapat perhatian ramai apabila mengumumkan bahawa kandungan Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang dinanti ramai pihak, dikeluarkan untuk
rujukan umum pada petang itu.
Beliau berkata langkah itu akan memberi ruang kepada anggota-anggota
Parlimen untuk membincang dan membahaskan serta membuat keputusan mengenai
perjanjian itu di Parlimen.
Mustapa berkata TPPA akan dibentangkan pada persidangan khas Dewan Rakyat
awal tahun depan, sama ada Januari atau Februari.
Setakat Khamis lepas, 17 kementerian telah menggulung perbahasan bagi
kementerian masing-masing dan lapan lagi kementerian dijadualkan akan menggulung
perbahasan pada 16 Nov setelah persidangan berehat minggu depan kerana sambutan
perayaan Deepavali.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berakhir pada 3 Dis.
|
No comments:
Post a Comment